Posted on Leave a comment

Tahukah Anda 7 Kesan Makanan Halal?

Kesan Pemakanan Halal Dengan Pembentukan Sahsiah Terpuji

1. Membina Sifat Kepimpinan
Syeikh Nasir bin Muhammad al-Samarqandy dalam kitabnya Bustan Al-‘Arifin
menukilkan kata-kata hukama, iaitu enam perkara jika terdapat pada seseorang
manusia maka dia berpotensi untuk menjadi seorang pemimpin (yang baik), iaitu:

(a) Mempelajari ilmu daripada para ulama.
(b) Bergaul dengan orang-orang yang warak.
(c) Makanannya daripada yang halal.
(d) Mengajar ilmu agama kepada keluarganya.
(e) Memiliki keperibadian orang warak dan alim.
(f) Memberi nafkah secukupnya kepada ahli keluarganya.

2. Memudahkan Beribadah
Makanan yang halal akan mendatangkan keberkatan dan keredhaan Allah SWT
dalam erti kata lain keberkatan bermaksud kebaikan yang melimpah ruah termasuk
seseorang itu senang untuk melakukan ibadah dan amalan kebajikan.

3. Menjaga Agama dan Maruah Diri
Daripada Nu’man bin Basyir r.a. bahawa Baginda Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud:
… Sesiapa meninggalkan (makanan dan minuman) yang syubhah (yang tidak
jelas halal dan haramnya) maka sesungguhnya dia telah menyelamatkan
agama dan kehormatan dirinya …”
. (Riwayat Tarmizi)

4. Membentuk Sifat Warak
Wasilah bin Asqa’ menceritakan bahawa ada seseorang bertanya kepada Baginda
Rasulullah SAW berkenaan siapakah orang yang warak itu.

Baginda Rasulullah SAW menjawab:
“Iaitu orang yang berhenti daripada melakukan sesuatu ketika dia
mengetahui perkara itu adalah syubhah”
. (Riwayat Tobaroni)

Warak adalah sifat yang terpuji sebagaimana yang didefinisikan oleh Imam
Al-Jurjani iaitu menjauhi perkara yang syubhah kerana bimbang terjatuh ke dalam
perkara yang haram.


5. Mengalirkan Nur dan Hikmah dalam Hati
Baginda Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang makan
makanan yang halal selama 40 hari nescaya dianugerah Allah nur dalam
hatinya dan dialirkan hikmah (kebijaksanaan) daripada hatinya turun kepada
lidahnya”
. (Riwayat Abu Na’im)


6. Membentuk Keimanan Hakiki
Sahal al-Tusturi pernah berkata: “Seseorang itu tidak akan mencapai keimanan yang
hakiki sehingga ada padanya empat perkara berikut:
(a) Menunaikan segala yang fardu dengan diiringi amalan sunat.
(b) Memakan yang halal dengan penuh kewarakan.
(c) Menjauhi segala larangan Allah zahir dan batin.
(d) Bersabar dalam setiap masa.


7. Doa Dimakbulkan
Pentingnya mengambil makanan yang halal dan baik-baik sahaja sehingga Baginda
Rasulullah SAW mengaitkannya dengan kemakbulan sesuatu doa. Ibnu Abas r.a.
memohon kepada Baginda Rasulullah SAW agar memohon kepada Allah SWT
supaya apa sahaja permohonan doanya (Saad) di kabulkan oleh Allah SWT.

Lalu Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Wahai Saad, makanlah yang baik-baik, pasti dimakbulkan doamu. Demi Tuhan
yang jiwa Muhammad berada dalam genggaman-Nya, sesungguhnya satu
suapan daripada makanan yang haram yang disuap oleh seseorang ke dalam
perutnya maka tidak akan diterima amalannya selama empat puluh hari. Dan
mana-mana hamba yang tumbuh dagingnya daripada harta yang haram dan
riba maka api neraka lebih layak untuk daging tersebut ”
.
(Riwayat Ibnu Mardawiah)


Sumber : buku Rahsia Makanan Sunnah (m/s 20-22)

#tipspemakanan #rahsiamakanansunnah #kesanmakananhalal #halal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *